Search This Blog

Sunday, 13 November 2011

Gejala Murtad dan Peranan Masyarakat


Baru-baru ini terdapat pelbagai pihak mendesak agar diwujudkan undang-undang baru bagi menangani gejala murtad.
Saya bersetuju bahawa kita tidak harus biarkan saja kejadian murtad berleluasa. Tapi saya berpendapat kita sepatutnya tumpukan usaha terhadap memperkukuhkan pemahaman di kalangan umat Islam. Kita juga harus psstikan bahawa pengajaran ilmu Islam ditapis dengan baik agar hanya ilmu2 yang bersumberkan alQuran dan hadis2 yang benar dijelaskan kepada umat Islam semua generasi. Penolakan Islam, saya yakin, kebanyakannya berlaku apabila terdapat kekeliruan, kejahilan dan salah-faham ajaran Islam.

Kita tidak akan berupaya menghalang penyebaran agama lain semata-mata dengan protes. Ini hanya memberi gambaran bahawa umat Islam berfikiran sempit. Bagaimana kita dapat menghalang penyebaran maklumat di zaman Internet sebegini? Dan kenapa kita harus merasa takut berdepan dengan penyebaran agama2 lain, kalau kita yakin Islam lebih benar?

Masalah sebenar adalah kualiti pengajaran Islam di kalangan kita. Penekanan yang tak seimbang dalam perkara2 tertentu menyebabkan timbulnya salah faham dikalangan mereka yang pandai berfikir. Yang kita seringkali diingatkan hanyalah betapa pentingnya isteri patuh kepada suami, tetapi kita jarang diperdengarkan betapa beratnya kewajiban suami menyara isteri dan keluarga. Jadilah seolah-olahnya kesalahan isteri yang tidak patuh itu adalah amat besar sedangkan suami yang tidak bertanggungjawab itu kecil saja salahnya.
Yang kita selalu dingatkan adalah mengelak daripada memakan daging yang tidak disembelih atau jangan menyentuh anjing. Tetapi kita jarang diingatkan supaya menjauhi rasuah, menipu, membodek, menindas dan sebagainya. Maka wujudlah masyarakat kita yang begitu berhati-hati apabila menyuap makanan tetapi tidak pula berhati menerima wang hadiah, sogokan dan suapan.

Terdapat pula papan2 tanda disesetengah masjid kita melarang mereka yang tidak menutup aurat daripada memasuki masjid, seolah-olah mereka ini terlampau hina dan tidak layak solat. Tetapi tiada pula terdapat papan2 tanda melarang pengunjung2 masjid daripada mengumpat dan mengeji2 di dalam masjid atau mengingatkan agar mereka meletak kereta dengan sebaiknya di luar masjid. Jadi wujudlah satu masyarakat yang suka kemasjid dengan pakaian yang penuh sopan, tetapi dengan perangai yang sebaliknya. Mereka mencerca manusia lain, mereka memandang remeh pada orang lain. Cara mereka meletak kereta2 mereka dijalan-raya memperlihatkan segalanya.

Sudah sampai masanya para pemimpin dan cerdik-pandai kita merangka semula pengajaran dan pendidikan Islam di kalangan kita.

Thursday, 21 July 2011

Mengunjungi Masjid dan Menghormati Kepentingan Awam

Kita sering melihat bagaimana kereta-kereta di letak di merata-rata tempat sewaktu solat Jumaat atau apabila terdapat acara-acara lain di masjid-masjid. Seringkali juga kelalaian meletak kereta ini melampau-lampau sehingga hampir menutup laluan jalan-raya.

Tidakkah kita terfikir yang kita ke masjid untuk melakukan ibadat? Dengan sikap lalai dan tidak peduli kita terhadap kepentingan awam, kita telah mencemar imej Islam. Dan sikap seperti ini yang telah diamalkan sejak dari dulu, tidak pernah berubah. Yang saya perhatikan semakin bertambah parah.

Yang menyedihkan kita tidak terdapat usaha-usaha yang serius dari kalangan ulama, pentadbir masjid, pemimpin-pemimpin ugama atau masyarakat yang cuba meningkatkan kesedaran kita dalam hal ini. Semuanya seolah-olah menerima sikap begini seolah-olah ianya sesuatu yang tidak salah.

Saya ingin menyeru kepada para pemimin2 ugama dan pemimpin masyarakat supaya berusaha menyedarkan masyarakat kita tentang perlunya kita menghormati hak-hak pengguna jalanraya di setiap masa dan di semua tempat, terutama sekali apabila kita melakukan ibadat.

Apakah nilai solat berjemaah kita di sisi Allah, kalau semasa kita bersolat kereta kita menghalang perjalanan orang-lain? Sikap kita nenimbulkan kerumitan pada oranglain. Kalau kita benar-benar ikhlas kepada Allah, kita hendaklah sanggup bersusah payah dengan meletakkkan kenderaan kita di tempat yang sesuai dan berjalan lebih jauh. Kita hendaklah sanggup mengorbankan masa yang lebih untuk menunaikan solat berjemaah dengan sempurna tanpa dicemari dengan gangguan terhadap pihak lain.

Ada kemungkinan sikap kita menimbulkan kebencian orang lain terhadap Islam. Itu bukan satu kesalahan dan kerugian yang kecil dan remeh. Tapi kalau kita menunjukkan sikap yang baik, berkemungkinan meningkatkan perhormatan dna persepctif positif terhadap Islam.

Monday, 11 July 2011

Waktu-waktu yang Baik untuk Berdoa

Saya ingin berkongsi petikan-petikan daripada beberapa buah buku yang saya baca tentang doa. Kita dapat ringkaskan bahawa pada waktu-waktu tertentu terdapat lebih barakah dan rahmat Allah swt dimana doa kita adalah lebih mustajab.

Waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut:

1. Malam Jumaat dan hari Jumaat. Waktu yang terbaik adalah selepas khatib telah selesai berkhutbah dan para muslimun sedang bersedia untuk solat Jumaat. Satu lagi waktu yang terbaik adalah saat-saat akhir hari Jumaat, semasa separuh matahari sudah terbenam.
2. Hari Rabu - antara tengah hari dan petangnya.
3. Sewaktu Solat malam/tahajjud.
4. Jangkamasa satu per enam dari tempoh selepas tengah malam (pertengahan antara manghrib dan fajar).
5. Jangkamasa satu per tiga dari waktu akhir malam (sebelum fajar).
6.  Malam Laylatul-qadr.
7. Malam pertama bulan Rejab.
8. Malam Nisf-syaban.
9.Malam Eidul-fitr.
10. Malam Eidul-adha.
11. Hari Arafah.
12. Apabila angin bertiup.
13. Apabila hujan turun.
14. Apabila azan dilaungkan.
14. Apabila darah para shuhada menitis.

Semoga ianya menjadi panduan kita bersama.







 

Saturday, 9 July 2011

Kesedihan Melihat Orang Melayu

Bersih 2.0 semalam berakhir dengan kematian seorang, kecederaan beberapa serta penangkapan 1,400 orang. Lebih 90% peserta adalah orang Melayu. Lebih 90% yang ditahan juga adalah orang Melayu. Rata-ratanya penyokong PAS dan PKR. Pihak polis juga majoritinya Melayu.

Di mana ahli-ahli serta pemimpin-pemimpin 62 NGO yang mengaggotai Bersih 2.0? Di mana penyokong-penyokong DAP? dan di mana pula para penyokong Bersih 2.0 dari kaum-kaum lain yang begitu lantang bersuara di Malaysian Insider dan lain-lain blog? Ternyata mereka lebih pandai dan licik. Mereka cuma menghasut orang-orang Melayu turun padang menuntut hak-hak tertentu bagi semua rakyat dan mengharungi pelbagai risiko dan kesusahan. Mereka sendiri bersenang-lenang dan hanya menunggu masa dan peluang menuai hasilnya.

Alangkah sedihnya hati melihat anak-bangsa sendiri diperdaya dan diperalat oleh kaum lain. Kita sendiri yang menjadikan diri kita hina. Kita sendiri yang tidak mahu belajar dari sejarah dan tidak mau berfikir dengan jujur dan kritikal. Kita sendiri yang sanggup diperkotak-katikkan!

Saya tidak hairan kalau yang turun berhimpun merupakan anak-anak yang masih muda atau orang-orang yang tidak berpengetahuan. Tapi orang-orang Melayu yang berhimpun semalam terdiri dari pemimpin-pemimpin politik ternama, sasterawan terulung, golongan pfofessional dan orang-orang terpelajar.

Kenapa perkara yang begitu mudah difahami oleh anak muda dari bangsa lain gagal difahami golongan yang matang kita? Dan kenapa perkara yang begitu jelas kepada golongan jahil dari bangsa lain belum nyata pada mereka yang terpelajar dari kaum kita? Agaknya orang Melayu memang bangga menjadi alat kaum-kaum lain terutamanya yang selama ini sentiasa menzalimi mereka.

Wednesday, 6 July 2011

Bersih 2.0

Saya ingin mengutarakan pandanga peribadi saya tentang Bersih 2.0 serta kewajaran kita menyertainya.

Sewaktu Muawiyyah hampir kalah dalam perang Siffin, pihaknya (atas nasihat Amr ibn Al-As) telah menjulang mashaf alQur'an yang masih dengan kesan darah Othman dan pihaknya melaungkan "لا حكماالا الله " yaani "Tiada hukum melainkan degan Allah". Bila Ali mendengarnya beliau terus mengatakan " كلمة الحق وأريد بها باطل" yaani satu kalimah yang benar tapi tujuannya batil.

Namun kaum Muslimin tidak bersetuju dengan Ali. Mereka lebih mempercayai tipudaya Muawiyyah. Maka terjadilah peristiwa Tahkim yang terkenal itu di mana mereka sekali diperdaya oleh Muawiyyah dan Amr ibn Al-As.

Suasana hari ini tidaklah sama. Tetapi di sebalik kebenaran dalam tuntutan-tuntutan Bersih 2.0, pelbagai pihak boleh mengambil peluang dari perhimpunan sebesar itu, untuk kepentingan masing2!

Yang biasanya berlaku, pejuang2 Muslim/Melayu yang bersusah payah dan berkorban dalam perhimpunan dan demonstrasi dengan segala risikonya. Tetapi hasilnya nanti - keadilan pilihanraya, persamaan hak/peluang kempen dsb - akan dituai, diculik dan dimanafaatkan oleh kumpulan2 lain, terutamanya yang bukan Muslim dan juga yang anti-Muslim.

Lihat saja persamaan hak yang selama ini diperjuangkan oleh PAS serta kumpulan2 Islam yang lain. Bila persamaan itu cuba diamalkan (dalam hal biasiswa, peluang perkerjaan sektor awam, kontrak2 kerajaan dsb), pihak bukan Islam lah pula yang menculiknya dan melaung-laungkan "hak-hak" mereka.

Sedangkan apa yang mereka miliki dan kuasai, tidak pernah pula mereka cuba pikirkan hak-hak orang lain. Adakah kita nampak mereka mengambil orang-orang Islam bekerja dengan mereka dengan kedudukan2 yang penting disyarikat2 gergasi yang mereka kuasai? Ada kita lihat mereka memberikan peluang2 perniagaan dan kontrak secara sama-rata pada orang2 Islam.

Daripada kita bekerjasama dengan golongan2 ini dan menuntut keadilan pilihanraya,lebih baik kita gembelingkan tenaga menyusun program memperkukuhkan kedudukan ekonomi, kemahiran, kepakaran, keilmuan, akhlak dan iman orang-orang kita. Lebih baik kita berusaha membuat program menyatupadukan orang-orang kita.

Belumkah kita kenal siapa Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Kit Siang dan rakan-rakan mereka? Kajilah sejarah hidup, peribadi dan politik mereka. Dengarlah ucapan2 mereka dimasa lampau. Dan perhatikanlah kelakuan2 mereka dahulu.

Lebih Berpolitik Kurang Berkerja

Pada pendapat saya kita terlampau banyak berpolitik. Bila kita terlebih berpolitik, kita kurang bekerja untuk membina ekonomi dan masyarakat kita.

Di media, Internet, kedai kopi, hotel, malah di telefon - kita 'obssessed' berbicara tentang politik. Politik antara parti, politik antara negeri, polititik dalaman parti, politik NGO, politik antara kaum, politik di jabatan kerajaan dan swasta - kita tidak habis berpolimik, sejak dulu sampai sekarang.

Jangan hairan jika tidak lama lagi kita akan menerima nasib seperti negara-negara Afrika dan lain-lain negara ketiga. Pembangunan tiada, ekonomi lumpuh, rasuah di mana-mana, rakyat merempat mencari rezeki di negeri orang. Kalau hanya hebat berpolitik, kita tak kan ke mana!

Warkah Buat P Ramlee

Tan Sri P Ramlee,

Kau telah dijadikan seorang manusia istimewa, dicurahi bakat yang tiada pada insan-insan lain. Kau telah menabur bakti pada berjuta anak bangsamu. Kau hiburi mereka dengan senimu yang indah. Kau kejutkan mereka dari lena dengan sindiran-sindiranmu yang tajam. Kau harumkan nama negara dan bangsamu semasa mereka tiada apa-apa untuk dibanggakan.

Namun bangsamu telah menyisihkan mu. Kau tidak diendahkan oleh masyarkat yang telah menikmati bakatmu yang agung. RTM, bank-bank, syarikat rakamanmu telah menolakmu. Media massa mengejek-ngejek mu. Malah teman-temanmu juga telah menjauhimu. Tiada siapa yang ingin bersamamu di akhir hayatmu, kecuali famili dan segelintir teman-teman setiamu.

Kau tinggalkan anak-isterimu tanpa  beras di dapur dan tanpa wang untuk menguburkanmu. Sungguh jijik sikap bangsamu padamu. Mereka memang bangsa yang tidak tahu berterimakasih. Sebegitu jasamu pada mereka, tiada nilainya lagi di sisi mereka.

Selepas kau pergi, mereka meratapi kehilanganmu. Mereka baru sedari bahawa manusia sepertimu mungkin tidak akan lahir lagi dibumi Melayu ini.... mungkin tidak lagi dalam sejarah manusia.

 Semoga Allah curahi atasmu keampunan dan rahmat sebagaimana Dia curahi atasmu bakat yang begitu gemilang. Alfatihah untuk mu.

Antara Tradisi dan Syari'at

Apabila kita renungkan dengan kritikal amalan-amalan 'keagamaan' dalam masyarakat kita, kita pasti dapati yang sesetengahnya merupakan hanya ikutan semata-mata. Kita tidak dapat sandarkan amalan-amalan ini pada nas-nas atau hujjah-hujjah syar'i yang jelas.

Antara yang saya maksudkan ini termasuklah amalan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau. Pembesar suara digunakan dengan meluas dalam hampir semua aktiviti dari azan, iqamah, solat, wirid, salawat, ceramah, doa dan rakaman bacaan Al-Qur'an. Ada menafaatnya - semua aktiviti-aktiviti ini dapat diperdengarkan kepada masyarakat di sekitar masjid/surau.

Tapi ada banyak juga keburukannya. Bunyi yang lantang dari corong pembesar-pembesar suara ini boleh mengganggu kekhusyukan mereka yang beribadah bersendirian di rumah. Kita harus ingati yang mungkin terdapat ramai umat Islam yang beribadat di rumah. Ramai yang bertahajjud, berwirid, membaca AlQuran dan berdoa di rumah samaada sewaktu masa solat, sebelum atau sesudahnya. Mereka juga berhak menikmati kedamaian agar mereka dapat menghadirkan hati mereka ke hadrat Allah.

Ramai juga ibu-ibu yang ingin menidurkan anak. Ramai yang ingin megulangkaji pelajaran. Ramai yang mengadakan perbincangan ilmu (dunia atau akhirat). Ramai juga yang sakit dan perlukan rehat. Apakah keperluan mereka di masjid/surau untuk memperbesarkan suara ke luar masjid/surau dengan lantang dan dalam waktu yang lama?

Bagi saya kebaikannya tidak dapat melebihi kesan negatifnya. Yang paling sedih apabila kita melihat sewaktu bacaan alQuran dari masjid/surau diperdengarkan, mereka yang di luar tidak mempedulikannya. Sedangkan firman Allah agar kita diam dan mendengar bila AlQur'an dibaca. Kita tidak dapat salahkan mereka yang mungkin tidak tahu atau terikat dengan urusan-urusan masing-masing. Tetapi kita tidak harus sedari bahawa dengan memperbesarkan suara bacaan dari masjid/surau kita telah mendedahkan mereka pada dosa dan menjadikan AlQuran tidak dipedulikan.

Saya cadangkan para ulama dan pemimpin-pemimpin ugama meneliti permasaalahan ini.  Saya sendiri pernah mendengar pendapat seorang bekas mufti yang mengatakan memperdengarkan bacaan AlQuran secara lantang kekhalayak ramai sedangkan kita tau bacaan itu tak diendahkan, adalh haram kerana kita mendedahkan mereka pada dosa. Saya juga pernah terbaca ada ulama-ulama di negara-negara tertentu tidak membenarkan bacaan alQuran dan lain-lain aktiviti keagamaan menggunakan pembesar suara dengan hujjah yang hampir sama.